Russia merekodkan satu lagi kemenangan besar apabila membelasah Syria 4-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Volgograd.
Sbornaya mahu meneruskan rentak kemenangan selepas membelasah Brunei 11-0. Manakala Syria pula mahu bangkit selepas tewas kepada Thailand dalam aksi final King’s Cup pada Oktober lalu.
Aleksei Miranchuk menjadi pilihan pengendali Russia, Valery Karpin untuk merobek gawang Helang Qasiun. Manakala Mahmoud Al-Mawas menjadi antara sandaran gol pengendali Syria, Jose Lana.
Separuh masa pertama menyaksikan Sbornaya berusaha mendapatkan gol awal di Arena Volgograd.
Situasi ini memaksa barisan pertahanan Helang Qasiun diketuai Ahmad Faqa bekerja keras menafikan trio penyerang Russia iaitu Miranchuk, Kostantin Tyukavin dan Sergey Pinyaev.
Tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-33 untuk membuka tirai jaringan menerusi bek tengah FC Rostov, Maksim Osipenko.
Sbornaya terus meningkatkan tekanan ke atas gawang Syria yang dikawal Ahmad Madania tetapi tidak berhasil. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, kelibat Miranchuk, Tyukavin dan Pinyaev terus menjadi duri dalam daging kepada pertahanan pelawat.
Tujuh minit selepas perlawanan bersambung, giliran bek kanan Lokomotiv Moscow, Ilya Samoshnikov mencipta nama sebagai penjaring.
Lana kemudiannya membuat beberapa pertukaran pemain dengan harapan dapat menyekat asakan Sbornaya. Malangnya, itu tidak berhasil dengan Miranchuk menyumbat gol ketiga pada minit ke-66.
Russia kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti selepas pengadil mengesan kekasaran ke atas pemain tuan rumah dalam kotak penalti. Osipenko tenang menyempurnakan penalti menewaskan Madania untuk gol keempat pada minit ke-81.
Sbornaya terus memburu gol tambahan tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Ini kemenangan kelima Russia di peringkat antarabangsa untuk tahun 2024.
Sofascore memilih Osipenko sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.4. Beliau mengatasi cabaran Samoshnikov dengan kelebihan 0.8 mata.