Pemain pertahanan kebangsaan, V. Ruventhiran berharap ‘Ekor’ Harimau Malaya memberi sokongan padu kepada pasukan itu menjelang aksi pertama Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup menentang Myanmar.
Ruventhiran melihat sokongan penyokong cukup penting bukan saja membantu skuad negara menampilkan aksi terbaik di atas padang terutama di gelanggang sendiri.
Malah, ini dilihat medan Harimau Malaya menebus maruah terutama selepas terlepas peluang layak ke saingan Piala Asia 2027. Atas sebab itu, Ruventhiran menyeru penyokong agar bersatu hati dan datang ke stadium untuk menyokong skuad negara.
“Saya menyeru semua orang kembali ke stadium (untuk menyokong Harimau Malaya) kerana ini tentang maruah negara.
“Jadi, mari kita bersatu dan bekerja demi negara kita,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Seruan pemain pertahanan Melaka FC itu dilihat selari dengan seruan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada penyokong untuk hadir memberi sokongan kepada Harimau Malaya.
Saingan Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup menyaksikan Malaysia akan menentang Laos dan Filipina di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 28 Julai dan 8 Ogos ini.
Malaysia membuka kempen Kumpulan B dengan menentang Myanmar pada 25 Julai ini di Stadium Thuwunna, Yangon.