Safiq Rahim & Farizal Marlias Tinggalkan Rekod Hebat Di JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Dua bekas tonggak Harimau Malaya, Safiq Rahim dan Farizal Marlias meninggalkan legasi yang hebat bersama pasukan lama mereka, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Safiq dan Farizal sah tidak lagi bersama JDT. Ini selepas mereka menjadi sebahagian daripada 11 pemain yang tidak dikekalkan untuk musim 2025/26.

Selain mereka, Harimau Selatan turut melepaskan Ramadhan Saifullah, Izham Tarmizi Roslan, Jordi Amat, Jese Rodriguez, Anselmo Moraes, Alvaro Rodriguez, Murilo Henrique, Roque Mesa dan Jonathan Viera.

Safiq dan Farizal masing-masing menyertai JDT dari Selangor pada musim 2013 dan 2015. Sejak itu, kedua-duanya memberi sumbangan besar kepada Harimau Selatan.

Selepas menyertai JDT sebanyak dua kali iaitu 2013 dan 2021, Safiq merekodkan mencatat 270 penampilan, 59 gol dan 68 bantuan jaringan.

Beliau turut membantu JDT meraih sembilan kejuaraan Liga Super, tujuh Piala Sumbangsih, empat Piala Malaysia, empat Piala FA dan satu Piala AFC.

Farizal membuktikan dirinya sebagai penjaga gawang utama yang hebat sepanjang bersama Harimau Selatan. Beliau merekodkan 222 penampilan dan 102 rekod tanpa bolos.

Farizal 10 kejuaraan liga, sembilan Piala Sumbangsih, lima Piala Malaysia, empat Piala FA dan satu Piala AFC sepanjang bersama JDT.

Setakat ini, kedua-dua legenda Harimau Malaya itu tidak mendedahkan perancangan mereka selepas meninggalkan JDT.

Yang pasti, tidak kira apa perancangan Safiq dan Farizal selepas ini, kedua-duanya telah memberi impak besar kepada kecemerlangan JDT dalam arena bola sepak negara.