Sarawak United Berazam Selesaikan Bayaran Gaji Bulan Depan

Datuk Posa Majais FA Malaysia Sarawak United Berazam Selesaikan Bayaran Gaji Bulan Depan
Foto: FA Malaysia
Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram MakanBola.

Susulan pelbagai pendedahan tentang isu tunggakan gaji Sarawak United, ada sinar baru bagi para pemain kelab itu. Difahamkan, pengurusan pasukan bakal melangsaikan semua tunggakan gaji bermula bulan hadapan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais. Para pemain turut diberitahu tentang jadual pembayaran yang akan dibuat.

Posa turut menegaskan pengurusan pasukan tidak akan lari dan sentiasa berusaha untuk melunaskan tunggakan gaji pemain. Pembayaran akan dibuat sejurus peruntukan kewangan bagi menyelesaikan tunggakan berjumlah lebih RM1 juta itu diluluskan.

“Kami sudah pun memaklumkan perkara itu (pembayaran tunggakan gaji) kepada pemain dan akan mula membayar bermula Februari ini secara berperingkat.

“Dana yang diperoleh Sarawak United baru-baru ini mencukupi untuk menyelesaikan semua tunggakan gaji dan berharap pemain bersabar dalam tempoh sedikit masa lagi.

“Pada masa sama, kami faham kesulitan yang dialami pemain apabila gaji mereka tertunggak namun pengurusan Sarawak United tidak pernah lepas tangan atau membiarkan mereka begitu saja,” katanya bila dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, timbul laporan pemain-pemain Sarawak United mengalami kesempitan hidup gara-gara isu tunggakan gaji yang tak berkesudahan. Ada yang sampai ke satu tahap mahu meminjam dengan ah-long bagi meredakan isu kewangan yang membelenggu mereka.

Posa berharap menerusi pengumuman ini, isu tunggakan gaji yang membelenggu pasukan dianggap selesai dan ia tidak diungkit lagi di media massa.

“Kami komited dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji dan berharap pembayaran hutang itu menyelesaikan segala isu melanda Sarawak United,”