Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang melakar satu lagi rekod bersejarah selepas mengharumkan nama Malaysia di pentas Asia.
JDT meneruskan perjalanan di pentas ACLE selepas berjaya mara ke pusingan suku akhir hasil kemenangan agregat 3-2 menewaskan kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima minggu lalu.
Kemenangan ini menjadikan skuad Harimau Selatan sebagai pasukan pertama dari Malaysia yang berjaya mara ke suku akhir ACLE dan melakar rekod baharu bola sepak negara dan kelab tersebut.
Kini, satu lagi rekod baharu menanti JDT di pentas domestik apabila kelab milik DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berpeluang mengesahkan kejuaraan Liga Super lebih awal.
JDT kini berada di Brunei untuk aksi Liga Super menentang DPMM malam ini dengan kemenangan bakal mengesahkan kejuaraan mereka yang kali ke-12 berturut-turut sejak tahun 2014.
Jika menang, JDT bakal mengumpul 57 mata selepas 19 aksi dan itu sudah cukup buat Harimau Selatan diangkat sebagai juara dengan perbezaan 17 mata berbanding Kuching City di tangga kedua.
Di atas kertas, sudah tentunya anak didik Xisco Munoz dilihat sebagai pasukan pilihan bagi memenangi perlawanan malam ini namun DPMM turut memiliki rekod baik apabila bermain di laman sendiri.
Untuk rekod, JDT telah menjuarai Liga Super sebanyak 11 kali berturut-turut, rekod tertinggi pernah dicatatkan oleh mana-mana pasukan di Malaysia sejak liga itu dijenamakan semula pada 2004.