“Satu Mata Cukup Bermakna” – Ubaidullah Shamsul
MakanBola
Terengganu FC

Pemain pertahanan Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili melabel satu mata yang diraih ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) cukup bermakna buat pasukan itu.

Kelebihan tampak memihak kepada JDT kerana beraksi di stadium keramat mereka, Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dan memiliki ramai pemain berkualiti.

Ketiadaan ramai tonggak menyaksikan Peteh yang dibimbing jurulatih interim, Tengku Hazman Raja Hassan beraksi sebagai pasukan bukan pilihan.

Pada awalnya, JDT mendahului menerusi penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super, Bergson da Silva. Walau bagaimanapun, tuan rumah hampa apabila Ehson Panjshanbe menyumbat gol penyamaan.

Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Terengganu bukan saja meraih satu mata berharga tetapi menafikan peluang JDT menamatkan musim dengan rekod kemenangan 100%.

Ubaidullah menyifatkan kejayaan meraih satu mata di SSI tidak akan berlaku tanpa usaha semua pihak termasuk para pemain.

“Lawan JDT setiap masa, bukan permainan yang mudah. Memang berkaitan dengan kesihatan fizikal dan mental, semua berkaitan. 

“Alhamdulillah, hari ini kami sebagai pasukan berjaya dan satu mata yang cukup bermakna untuk musim ini. Kami bermain sebagai satu pasukan dan setiap orang yang diberi peluang, menggunakan peluang itu dengan baik,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

Terengganu berharap dapat menggunakan momentum keputusan itu untuk mengakhiri musim dengan cemerlang.

Selepas ini, Peteh akan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 25 April ini.