Pengendali Sri Pahang, Dato’ Dollah Salleh menyambut baik langkah Malaysian Football League (MFL) memansuhkan peraturan kelebihan jaringan di tempat lawan bermula dengan saingan Piala Malaysia musim ini.
Beliau menganggap perubahan dilaksanakan itu sebagai sesuatu yang lebih adil kepada pasukan dan lebih penting ia seiring dengan perubahan bola sepak antarabangsa sambil memudahkan pemahaman pemain serta peminat.
“Baguslah tentang apa perubahan yang dibuat MFL, ini satu keputusan yang sangat baik kerana saya dari dulu memang tidak gembira dengan peraturan gol di tempat lawan ini yang banyak menimbulkan kekeliruan,” ujarnya.
Dollah Salleh juga menjadikan kekalahan mereka di tangan Kedah pada peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2019 sebagai satu contoh terbaik mengapa peraturan jaringan di laman lawan sebagai tidak relevan.
“Masih ingat lagi bagaimana kami kalah dengan Kedah dulu hanya disebabkan jumlah jaringan di tempat lawan, rasa memang sakit hati walaupun atas kertas, angka jaringan adalah sama.
“Malah punca Dickson meraikan jaringan tersebut adalah kerana menyangkakan kelebihan jaringan di tempat lawan sudah tidak diambil kira selepas waktu tambahan seperti mana peraturan ditetapkan AFC namun yang sebaliknya terjadi.
Ketika itu perlawanan berkesudahan seri 3-3 di Alor Star dan kemudiannya aksi penuh dramatik di Stadium Darulmakmur pula berakhir dengan keputusan seri 5-5. Dengan agregat 8-8, Kedah mara ke perlawanan akhir menerusi peraturan away goal.
“Satu lagi, jaringan di tempat lawan ini ada kalanya mengganggu psikologi pemain jika mereka dalam situasi ketinggalan ketika beraksi di tempat sendiri yang sedikit sebanyak turut memberikan kesan kepada perancangan jurulatih,” tambah Dollah Salleh lagi.
Dengan pemansuhan peraturan away goal dalam kejohanan kalah mati, perlawanan yang terikat secara agregat selepas 180 minit timbal balik, akan dilanjutkan ke masa tambahan selama 30 minit.
Dan jika kedua-dua pasukan masih terikat, maka pemenang perlawanan akan ditentukan menerusi sepakan penalti.