Sebab Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal meninggalkan kem Harimau Malaya menjelang aksi separuh akhir ASEAN Hyundai Cup menentang Vietnam akhirnya terjawab.
Selepas Kuzain kembali ke Amerika Syarikat (US) selepas meninggalkan kem skuad kebangsaan, hal ini membuatkan ramai penyokong tertanya-tanya sebab perkara itu berlaku.
Kini, pengendali interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe memaklumkan perkara itu berlaku kerana pemain tengah berusia 27 tahun itu terikat dengan komitmen bersama kelabnya, Sporting JAX.
Meskipun hanya sempat bersama Harimau Malaya untuk empat aksi Kumpulan B, Cheng Hoe tetap memuji impak yang dibawa Kuzain.
“Wan Kuzain tidak bersama pasukan ke Vietnam kali ini kerana komitmen beliau bersama kelab (Sporting JAX) di Amerika. Dan kita juga berterima kasih kerana Kuzain telah memberi sumbangan besar kepada pasukan.
“Pada masa sama, beliau juga merasa seronok kerana dapat bersama pasukan buat kali pertama. Inilah peluang terbaik beliau menunjukkan kepada pasukan aksi terbaik dalam beberapa perlawanan meskipun hanya beraksi sebagai pemain simpanan.
“Tetapi komitmen beliau dan adaptasi beliau dalam pasukan sangat baik, saya fikir semua pemain gembira dengannya dan dapat bermain bersama sebagai satu pasukan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Kuzain merekodkan empat penampilan, satu gol dan satu bantuan gol bersama Harimau Malaya sepanjang kejohanan.