Jurulatih interim Malaysia, Tan Cheng Hoe terpaksa melupakan khidmat arkitek Sporting JAX, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal menjelang aksi separuh akhir ASEAN Hyundai Cup menentang Vietnam.
Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan pemain tengah berusia 27 tahun itu pulang ke Amerika Syarikat (US) selepas selesai aksi Kumpulan B.
‘Wan Kuzain pulang ke Amerika Syarikat dan tidak akan meneruskan perjuangan bersama Harimau Malaya dalam kempen Piala Hyundai ASEAN. Keputusan disahkan,” katanya di X.
Berita ini dilihat menjawab persoalan yang bermain di minda penyokong selepas kelibat Kuzain tidak kelihatan dalam sesi latihan Harimau Malaya baru-baru ini.
Khabar ini juga menjelaskan hantaran Kuzain yang dibuat di media sosial baru-baru ini. Hantaran tersebut berbunyi, “Wan to Wan, terima kasih Malaysia.”
Anak jati Carbondale, Illinois itu seolah-olah memberi bayangan bahawa tempohnya bersama skuad kebangsaan telah tamat dan akan kembali ke US selepas itu.
Sepanjang kempen ASEAN Hyundai Cup, bekas pemain Sporting Kansas City itu merekodkan empat penampilan, satu gol dan satu bantuan gol. Hantaran Kuzain yang disempurnakan G. Pavithran ketika menentang Filipina membantu Malaysia layak ke separuh akhir.
Berita ini dijangka mengugat perancangan Cheng Hoe membentuk skuad ampuh menghadapi Vietnam. Sebelum ini, beliau terpaksa melupakan khidmat Endrick dos Santos, Jimmy Raymond dan Engku Nur Shakir Engku Yacob akibat kecederaan.