Selangor bertekad untuk terus berjuang hingga ke penghujung musim, meskipun aksi Liga Super baru-baru ini tidak memihak kepada pasukan itu.
Ketika ini, Selangor yang menghuni tangga ketiga Liga Super sedang bersaing sengit bersama dua lagi pasukan, iaitu Kuching City dan KL City, bagi merebut slot ke saingan ACL 2 musim hadapan.
The Red Giants tercicir dua mata dalam aksi minggu ke-22 ketika menentang Sabah selepas terikat seri 1-1 dengan The Rhinos.
Keputusan tersebut memberi ruang kepada Kuching City untuk memintas Selangor apabila The Cats mencatat kemenangan 4-1 ke atas PDRM pada Ahad.
Menurut ketua jurulatih Selangor, Kim Pan-gon, aksi menentang Sabah sepatutnya dimenangi, dan pasukan itu akan terus berusaha sedaya upaya hingga ke penghujung musim.
“Malam ini, kita mesti menang. Semua perlawanan yang berbaki perlu dimenangi untuk terus berjuang hingga ke penghujung. Walaupun peluang sangat tipis, kita akan lihat bagaimana nanti.”
“Pasukan lain juga masih mempunyai satu perlawanan lagi, jadi kita menunggu keputusan mereka. Kita tidak boleh berputus asa sehingga ke saat akhir.”
Tambah beliau, Selangor perlu mengutip kesemua mata yang berbaki bagi menghidupkan peluang untuk layak ke saingan ACL 2 musim hadapan.
“Kita masih ada tiga perlawanan lagi. Kita perlu cuba mendapatkan semua mata yang ada,” kata Kim Pan-gon di Astro Arena ketika sidang media selepas aksi bertemu Sabah.
Selangor bakal meneruskan aksi Liga Super musim ini dengan menentang pasukan Kelantan TRW di halaman lawan pada 24 April depan.