Bekas Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi mempersoal motif saranan yang dibuat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon baru-baru ini.
Yusoff melihat saranan Johan di luar saluran rasmi itu bukan saja meragukan. Malah, ia boleh saja mencetuskan lebih banyak polemik dalam arena bola sepak negara.
Yusoff juga merasa hairan mengapa saranan itu dibuat Johan sedangkan beliau bukan asing dengan sistem bola sepak yang wujud.
Ini kerana kelab-kelab memiliki saluran rasmi seperti mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) dan Kongres MFL untuk bersuara.
“Dia bukan orang baharu. Dia tahu platform yang betul. Kalau benar mahu memperbaiki keadaan, kenapa tidak guna saluran itu?
“Bila pilih untuk bercakap di luar, ia bukan lagi sekadar pandangan profesional, tetapi membuka ruang kepada persepsi yang lebih besar dan mencurigakan,” katanya.
Yusoff percaya kenyataan tersebut bukan saja janggal tetapi juga sarat dengan kepentingan tersembunyi.
“Kenapa sekarang? Itu persoalan paling asas. Ia seolah-olah mencari titik noktah negatif dalam suasana yang sedia tegang,” ujarnya.
“Adakah ini berkait dengan agenda pemilihan FAM. Adakah kerana ada wakil daripada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang telah menyuarakan hajat mahu bertanding sebagai President FAM dalam pemilihan berkenaan dan ini salah satu langkah awal membina pengaruh dan meraih sokongan?”
Yusoff turut menyarankan mana-mana kelab Liga Malaysia (Liga M) yang mahu bersuara agar bersikap profesional dan menggunakan saluran sedia ada.