Kemenangan Selangor dalam perlawanan Liga Super pada Sabtu telah menunda impian JDT bagi merangkul kejuaraan Liga Super lebih awal
Pertembungan Liga Super minggu ke-20 menyaksikan JDT hanya memerlukan 2 lagi kemenangan untuk mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 pada musim ini.
JDT turun ke Stadium Sultan Ibrahim bagi menanti kunjungan PDRM pada Rabu dengan skuad Harimau Selatan kenduri gol apabila mencetak 4 jaringan di hadapan penyokong sendiri.
4 jaringan daripada Jorge Obregon, Corbin Ong, Jese serta Romeo Morales memastikan JDT hanya selangkah sebelum ditabalkan sebagai juara Liga Super musim 2024-2025 ini.
Berdasarkan kiraan mata, JDT akan bergelar juara Liga Super lebih awal andai pencabar terdekat, Selangor gagal meraih 3 mata apabila menerima kunjungan Sri Pahang pada Sabtu ini.
Walau bagaimanapun, skuad Gergasi Merah ini tampil cukup cemerlang dengan Ali Olwan dan Ronnie Fernandez masing-masing melakar nama selaku penjaring di Stadium MBPJ itu.
3 mata yang diraih Selangor ini telah menundakan hasrat JDT untuk bergelar juara lebih awal tatkala saingan Liga Super hanyalah berbaki 5 lagi perlawanan untuk dimainkan buat masa ini.
Kedudukan Liga Super kini memperlihatkan jurang 13 mata antara JDT di tangga pertama dan juga Selangor di tempat kedua dengan juara bertahan itu mengutip 55 mata selepas 19 aksi.
Aksi Liga Super seterusnya buat JDT adalah berdepan Perak di laman sendiri pada 27 Februari nanti sementara Selangor bakal menerima kedatangan pasukan Sabah pada hari yang sama.