Isu kecederaan terus menghimpit Harimau Malaya menjelang aksi separuh akhir pertama ASEAN Hyundai Cup 2026 menentang juara bertahan, Vietnam.
Terbaru, jurulatih interim Malaysia, Tan Cheng Hoe mengesahkan dua lagi tonggak iaitu Aliff Haiqal Lau dan Fazrul Amir Md Zaman terpaksa disisihkan akibat kecederaan.
Fazrul Amir mengalami kecederaan ketika aksi terakhir Kumpulan B menentang Filipina baru-baru ini. Pemain sayap Kuala Lumpur City FC (KL City FC) itu hanya sempat beraksi selama 11 minit sebagai pemain gantian sebelum digantikan Haqimi Azim Rosli.
Kelibat Aliff Haiqal juga tidak kelihatan dalam beberapa sesi latihan skuad kebangsaan sejak beberapa hari lalu. Mereka menyertai Endrick dos Santos, Jimmy Raymond dan Engku Nur Shakir Engku Yacob yang terpaksa melupakan kempen kejohanan akibat kecederaan.
Meskipun begitu, Cheng Hoe menghela nafas lega kerana pemain sayap naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh kembali menjalani latihan.
“Bukan mudah sebagai jurulatih menghadapi masalah kecederaan, sebagai jurulatih saya tetap positif dengan pemain yang masih ada terutama Sumareh yang sudah berlatih dengan pasukan dan berkemungkinan akan turun esok.
“Pada masa sama, Aliff Haiqal, Engku Nur Shakir dan beberapa pemain lain yang kita tahu tidak dapat untuk diturunkan,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Ketiadaan ramai pemain dijangka mendorong Cheng Hoe mempertaruhkan kudrat muda dalam kesebelasan utama menentang Vietnam. Antaranya Daryl Sham, Ziad El Basheer dan Ibrahim Manusi.