Jurulatih interim Malaysia, Tan Cheng Hoe mengakui beliau perlu menggunakan kudrat pemain muda terutama di bahagian tengah menjelang aksi separuh akhir pertama ASEAN Hyundai Cup menentang Vietnam.
Bekas jurulatih Selangor FC itu sedia menimbang kemungkinan itu lebih-lebih lagi dengan kem negara dilanda masalah kecederaan.
Selepas kehilangan khidmat Endrick dos Santos, Jimmy Raymond dan Engku Nur Shakir Engku Yacob akibat kecederaan, dua lagi pemain iaitu Aliff Haiqal Lau dan Fazrul Amir Md Zaman juga berdepan isu sama.
Malaysia juga terpaksa melupakan khidmat Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal untuk aksi itu. Wan Kuzain terpaksa meninggalkan kem Harimau Malaya kerana komitmen bersama kelabnya, Sporting JAX.
Cheng Hoe melihat sudah tiba masanya buat pemain muda seperti Daryl Sham, Ibrahim Manusi dan Ziad El Basheer untuk tampil membantu pasukan untuk baki kempen kejohanan.
“Pada ketika ini, semua orang tahu kita ada isu di bahagian tengah terutama dengan Endrick, Aliff Haiqal dan Wan Kuzain tiada.
“Jadi, ini memberikan peluang kepada pemain muda yang belum bermain untuk skuad kebangsaan seperti Daryl Sham, Ibrahim Manusi dan Ziad. Mereka berkemungkinan akan mengisi kekosongan untuk pasukan.
“Jika pemain diberi peluang, mereka akan berikan yang terbaik. Perkara paling penting ialah memberi sokongan dan galakan kepada mereka untuk aksi separuh akhir,” katanya dalam sidang media praperlawanan.
Cheng Hoe berharap pemain-pemain yang diberi peluang beraksi dapat memanfaatkan peluang tersebut sebaik mungkin. Ini kerana tidak ramai pemain yang merasai pengalaman beraksi di pentas kejohanan besar seperti ASEAN Hyundai Cup.
“Bukan semua pemain berpeluang bermain dalam perlawanan besar seperti ini. Oleh itu, kita mesti percaya pada diri sendiri, bersatu dan melangkah ke padang dengan semangat juang yang tinggi. Semuanya bergantung kepada kita,” tambahnya.
Malaysia akan berdepan Vietnam dalam aksi separuh akhir pertama di Cheras pada 16 Ogos. Ini disusuli aksi timbal balik di Hanoi, Vietnam pada 19 Ogos.