Sharul Nazeem Anggap Kekalahan Jadi Pengajaran Bermakna Menjelang Piala Asia
Dunia
FA Malaysia
Advertisements

Tersingkirnya Malaysia di pusingan separuh akhir Piala AFF semalam memang sukar untuk ditelan. Tetapi bagi bek tengah kebangsaan Sharul Nazeem, ia diharap dapat menjadi batu asas untuk Harimau Malaya tampil lebih mantap menjelang Piala Asia 2023.

Ini kerana terdapat beberapa kelemahan pasukan yang perlu dibaiki selepas ini. Walaupun dari segi taktikal, Malaysia mengamalkan taktik sama pada dua perlawanan separuh akhir tetapi Thailand merupakan pasukan yang lebih baik.

“Semestinya kekalahan ni kami tak boleh nak terima… saya rasa inilah titik permulaan bagi kami. Kami mungkin sedikit penat tetapi tetap berjuang, saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang berjuang habis-habisan, saya rasa banyak kami perlu perbaiki untuk Piala Asia nanti.

Advertisements

“Perlawanan ini mungkin disebabkan kelemahan kami, mungkin Thailand tahu kelemahan kami jadi kami perlu perbaiki apa yang mereka lakukan terhadap kami,” kata bek tengah berusia 23 tahun itu kepada media selepas perlawanan di Stadium Thammasat semalam.

Sharul Nazeem turut menambah wujud perbezaan kualiti antara Harimau Malaya dan skuad Gajah Perang. Namun begitu, pada masa sama, dia dan rakan-rakan sepasukannya berbangga dengan pencapaian mara ke separuh akhir Piala AFF.

“Pemain mereka ada yang bermain di luar negara, jadi pengalaman lagi tinggi berbanding dengan pemain kami macam (main) di Thailand, jadi kami kalah dekat situ…tapi kami tetap bangga sampai separuh akhir, kita perlu teruskan fokus untuk Piala Asia,” katanya.

Advertisements

Walaupun tewas di peringkat separuh akhir, pencapaian skuad Kim Pan-gon itu jauh lebih baik daripada Piala AFF edisi 2020. Dalam edisi 2020, Malaysia tersingkir di peringkat kumpulan dengan jurulatih ketika itu, Tan Cheng Hoe kemudiannya meletakkan jawatan.

Ini kerana skuad ini menampilkan ramai muka baru. Ini ditambah dengan fakta Harimau Malaya tampil tanpa 14 tonggak utama yang menarik diri akibat kecederaan, komitmen keluarga dan isu peribadi.

Selain itu, Malaysia juga bermain tanpa kelibat Khuzaimi Piee yang terkeluar dari kejohanan akibat kecederaan. Dengan mengambil kira semua ini, pencapaian Piala AFF 2022 dapat membantu Pan-gon membina pasukan lebih mantap untuk aksi antarabangsa seterusnya termasuk Piala Asia 2023.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram