Bekas pemain pertahanan Harimau Malaya, Shukor Adan kini memikul tugas sebagai jurulatih skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19).
Selepas berjaya membimbing skuad Malaysia B-16 layak ke final Kejuaraan B-17 ASEAN 2026, kini khidmat beliau ditagih untuk mengemudi skuad Malaysia B-19.
Pengumuman yang dibuat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu turut menamatkan spekulasi tentang jurulatih mana yang akan mengemudi pasukan itu untuk kempen Kelayakan Piala Asia B-20 2027 yang akan bermula pada penghujung Ogos ini.
Sebelum ini, tugas itu dipikul bekas jurulatih Malaysia B-23, Nafuzi Zain. Walau bagaimanapun, kerusi panas itu kosong apabila beliau meninggalkan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan pada Jun lalu.
Shukor bakal dibantu jurulatih Korea Selatan, Lee Jeyoon sebagai penolong jurulatih, Kris Yong Wai Hwang (jurulatih penjaga gol), Reuben Jude Balraj (jurulatih kecergasan) dan Haru Chung sebagai juruanalisis.
Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee pula akan memikul tugas sebagai pengurus pasukan.
Sehubungan dengan itu, 23 orang pemain telah dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat Fasa 1 bermula dari 12 Ogos hingga 23 Ogos. Selepas itu, Shukor akan memanggil lagi pemain untuk kem latihan pusat Fasa 2 dari 24 Ogos hingga 28 Ogos.
Langkah itu diambil memandangkan pada ketika itu, Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang kini berlangsung di Selangor melabuhkan tirai pada 23 Ogos. Setelah itu, Shukor akan memuktamadkan senarai akhir 23 pemain yang akan bertolak ke Vientiane, Laos pada 29 Ogos.
Antara pemain yang dipanggil dalam kem ini ialah Kaveen Waran. Penjaga gol kelab Portugal, Vizela FC itu pernah menyahut panggilan kem Malaysia B-16 ketika dibimbing Javier Jorda Ribera pada 2024.