Soleen Al-Zoubi Galas Tugas Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita Malaysia
MakanBola
FA Malaysia

Jurulatih Jordan, Soleen Al-Zoubi kini menggalas peranan baharu sebagai Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita.

Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Soleen sebagai penyandang jawatan tersebut.

Susulan itu, peranan jurulatih Malayan Tigress bakal digalas bekas jurulatih Arema FC, Joel Cornelli. Cornelli bakal berdepan beberapa tugasan penting untuk tahun 2025.

Selain pusingan kelayakan Piala Asia Wanita 2026, skuad wanita negara juga bakal mengharungi temasya Sukan SEA 2025 di Thailand.

Perubahan ini dilihat sebahagian daripada usaha FAM memantapkan lagi pembangunan bola sepak wanita di Malaysia.

Soleen menyifatkan pelantikannya akan dapat membantu memperkukuh struktur kepimpinan bola sepak wanita Malaysia. Beliau turut mengalu-alukan kehadiran Cornelli sebagai pengendali Malayan Tigress yang baru.

“Joel akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada skuad bola sepak wanita senior, membawa kepakaran serta tenaganya untuk membimbing barisan pemain wanita utama negara sekali gus memberi peluang kepada saya untuk memberi fokus kepada pembangunan menyeluruh bola sepak wanita negara, khususnya pembangunan belia, pendidikan jurulatih, program-program pembangunan dan perancangan teknikal jangka panjang,” katanya.

“Penyusunan semula ini mencerminkan kepercayaan kami terhadap pendekatan yang holistik dan berorientasikan masa depan untuk pembangunan bola sepak wanita.

“Saya yakin dengan Joel di barisan hadapan pasukan senior, kita berada di landasan yang tepat dalam memburu kejayaan segera serta pertumbuhan jangka panjang.

Selain memantau prestasi Malayan Tigress, Soleen juga dijangka sibuk membantu skuad pembangunan wanita terutama skuad wanita Bawah 20 Tahun (B-20).

Ini kerana Malayan Tigress B-20 bakal mengharungi pusingan kelayakan Piala Asia Wanita B-20 pada Ogos ini dan Kejohanan Wanita B-19 AFF 2025.