Kapten Korea Selatan, Son Heung-min mendapat pujian ramai di media sosial kerana memiliki semangat kesukanan yang tinggi.
Portal TheThao247 melaporkan beliau merayu kepada pengadil Malaysia, Mohd Amirul Izwan Yaacob agar tidak melayangkan kad merah kepada bek tengah Vietnam, Bui Hoang Viet Anh.
Pada minit ke-61, Viet Anh membuat terjahan ke atas kapten Tottenham Hotspur itu sebelum beliau mara ke dalam kotak penalti Pahlawan Bintang Emas.
Amirul Izwan tidak teragak-agak melayangkan kad kuning kedua sekaligus kad merah kepada bek tengah CAHN itu.
Ini mendorong Heung-min meminta pengadil Malaysia itu agar mempertimbang semula keputusannya itu. Penyerang Spurs itu melihat terjahan yang dilakukan Viet Anh tidak disengajakan.
Hujah Heung-min turut disokong beberapa pemain Korea Selatan dan Vietnam yang meminta Amirul Izwan menyemak semula keputusan di skrin VAR.
Bagaimanapun, pengadil Malaysia itu kekal dengan keputusannya. Menariknya, sebelum Viet Anh meninggalkan padang, Heung-min berjabat tangan dengannya sebagai tanda hormat.
Keputusan ini menyaksikan Viet Anh digantung untuk aksi persahabatan Vietnam seterusnya.
Begitupun, jurulatih Pahlawan Bintang Emas, Philippe Troussier boleh menghela nafas lega kerana bek tengah CAHN itu boleh diturunkan untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026.
Mereka bakal turun menentang Filipina untuk aksi kelayakan Kumpulan F pada 16 November ini.
Di media sosial, ramai peminat Vietnam dan Korea Selatan memuji keperibadian yang ditunjukkan bekas bintang Bayer Leverkusen itu.
Perlawanan tersebut menyaksikan Korea Selatan membelasah Vietnam 6-0 di Suwon semalam. Ini juga kemenangan terbesar mereka di bawah bimbingan Jurgen Klinsmann setakat ini.