Stadium Buruk, Padang Teruk, Tiada Siapa Bersuara
MakanBola
Instagram/Taufiq Johari

Saban musim, bukan sekali para peminat Liga Malaysia (Liga M) bersuara tentang kualiti dan persembahan pasukan masing-masing di atas padang. Walau bagaimanapun, isu infrastruktur terutama stadium dan padang yang teruk jarang disentuh penyokong.

Tidak ramai sedar, isu infrastruktur sebegini seharusnya menjadi keutamaan pasukan Liga M. Ini kerana isu ini memberi impak besar bukan saja kepada pasukan di atas padang tetapi juga di luar padang.

Contoh paling mudah, isu padang yang teruk. Bukan sekali isu ini mencetuskan rungutan dalam kalangan pemain dan jurulatih Liga M tetapi juga penyokong.

Padang yang teruk mengancam keselamatan dan kesihatan pemain terutama masalah kecederaan. Selain itu, apabila padang digenangi air akibat hujan lebat, ini menyebabkan perlawanan terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang lain.

Hal ini bukan saja memberi kesan kepada kantung kewangan kelab. Malah, ini juga menyusahkan penyokong untuk menghadiri aksi tertunda sekaligus memberi kesan kepada kehadiran penyokong di stadium.

Infrastruktur stadium yang buruk juga mempengaruhi kehadiran penyokong di stadium. Mana-mana penyokong pasti merasa tidak selesa pergi ke stadium jika kemudahan asas seperti tandas dan surau tidak berada pada tahap terbaik.

Jika keadaan itu dibiarkan, ini secara tidak langsung menjejaskan nama baik bukan saja pasukan yang bertanding tetapi juga pemilik stadium. Persoalan juga akan diutarakan kepada pemilik stadium tentang kenapa isu ini dibiarkan berlarutan.

Atas sebab itu, kesungguhan beberapa kelab Liga Super untuk merencana pelan penaiktarafan infrastruktur stadium patut dipuji. Ini kerana mereka sedar ini isu penting yang mampu merealisasikan potensi jangka panjang pasukan.

Antaranya, Penang FC dan Kuching City FC merancang menaik taraf stadium masing-masing selepas tamat musim 2025/26. Negeri Sembilan FC juga rancak menaik taraf Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi sebelum saingan ASEAN Championship 2026 bermula.

Walaupun memiliki stadium terbaik di Malaysia, itu bukan penghalang buat Johor Darul Ta’zim (JDT) menambah baik Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Ini menunjukkan kesungguhan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memastikan infrastruktur kelab sentiasa berada pada tahap terbaik.

Meskipun begitu, sukar bagi sesebuah kelab menaik taraf infrastruktur mereka terutama stadium jika pemilik stadium enggan memberi kerjasama.

Hal ini dinyatakan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka FC, Inderraj Singh dalam sesi meja bulat Malaysian Football League (MFL) beberapa bulan lalu.

Beliau melihat sebarang usaha untuk menaik taraf infrastruktur kelab perlu mendapat sokongan proaktif MFL. Ini kerana tanpa sokongan MFL, usaha kelab untuk menaik taraf infrastruktur akan berdepan kesukaran.

Tidak salah bagi penyokong bersuara tentang kualiti dan persembahan pasukan masing-masing dalam Liga M saban musim. Pada masa sama, mereka juga sebagai pemegang taruh harus bersuara tentang isu penting pasukan termasuk infrastruktur.

Ini kerana isu stadium buruk memberi kesan kepada kelab baik di dalam mahupun luar padang. Justeru, isu ini harus dipandang serius kerana jika ia dapat direalisasikan, ia menaikkan lagi imej bola sepak negara kerana kelab-kelab memiliki infrastruktur yang bagus dan mesra penyokong.