Status Pemain Baru Bukan Tekanan Buat Aysar Hadi
MakanBola
Malaysia NT

Bek tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Aysar Hadi Mohd Shapri melihat status pendatang baru tidak memberi tekanan kepada dirinya bersama Harimau Malaya.

Pandangan itu dibuat beliau apabila ditanya tentang perasaan menyertai kem skuad senior kebangsaan buat kali pertama dalam kariernya.

Aysar melihat meskipun dirinya antara pendatang baru dalam kem kali ini, itu bukan penghalang buat beliau membentuk keserasian dengan pemain-pemain lain.

Ini kerana semua pemain yang ada memiliki kualiti. Ini termasuk barisan pemain senior yang banyak membantu menyesuaikan diri dalam kem kali ini.

“Saya rasakan semua pemain membawa kualiti yang terbaik. Masing-masing memiliki kualiti jadi semua pemain senior biasanya akan bimbing kami untuk bermain dengan baik,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Aysar mengakui teruja kerana berjaya mendapat panggilan skuad senior kebangsaan buat kali pertama. Justeru, bek tengah berusia 23 tahun itu memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberi jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

“Alhamdulillah atas panggilan pertama daripada jurulatih, Tan Cheng Hoe. Saya sememangnya sudah bersedia daripada segi mental kerana sudah mengetahui dalam senarai menunggu. Jadi setiap hari saya menunggu panggilan skuad kebangsaan.

“Semestinya saya perlu buat yang terbaik, bukan gugup tetapi saya optimis melakukan yang terbaik untuk pasukan negara,” tambahnya.

Aysar pada awalnya berada dalam senarai menunggu pemain Harimau Malaya selepas senarai 26 pemain diumumkan. Beliau kemudiannya dipanggil sebagai pengganti bek tengah Sabah FC, Dominic Tan.