Kapten Harimau Malaya, Syafiq Ahmad berhasrat meraih sesuatu dalam saingan Piala Mitsubishi Electric ASEAN (PMEA) yang akan memulakan sepak mulanya pada esok (8 Disember).
Syafiq yang kini beraksi untuk Kedah Darul Aman FC (KDA FC) percaya dengan perancangan jurulatih interim Malaysia, Pau Marti dan berharap segala-galanya akan diterjemahkan di atas padang pada aksi sulung bertemu Kemboja.
“Pada saya, saya mahu meraih sesuatu daripada kejohanan ini sekurang-kurangnya boleh pergi ke peringkat seterusnya. Setiap perlawanan, kami mahu memenanginya.
“Lebih baik kami pergi langkah demi langkah dan menilai sejauh mana kami akan pergi. Setiap perlawanan adalah penting dan perlawanan esok (bertemu Kemboja) saya harap dapat keputusan yang positif,” jelas Syafiq dalam sidang media pra perlawanan yang disiarkan di Astro Arena.
Malaysia dijadualkan bertemu Kemboja pada esok dalam aksi sulung PMEA. Perlawanan yang berlangsung di gelanggang lawan ini menjadi antara perlawanan-perlawanan terakhir Pau Marti yang akan meninggalkan tugasnya usai tamat PMEA.
Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada 9 Disember 2022 yang mana menyaksikan Malaysia menang besar 4-0 dengan tujuh pertemuan sebelum itu turut dimenangi Malaysia.