“Tak Mungkin Kim Pan-gon Akan Balik Latih Korea”
MakanBola
Haziq / MakanBola

Naib Presiden FAM, Dato’ Wira Yusuf Mahadi tampil menjawab khabar angin yang mengaitkan pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon bersama pasukan kebangsaan Korea Selatan.

Menurut Yusuf Mahadi, beliau anggap spekulasi ini hanya sekadar permintaan-permintaan kosong daripada sesetengah pihak mahupun para penyokong Korea Selatan.

Beliau percaya, setakat ini belum ada permintaan rasmi yang datang daripada Persatuan Bolasepak Korea Selatan.

“Jadi permintaan yang awak dengar ini semuanya permintaan orang luar. Kita dekat sini pun kita ada permintaan yang bermacam-macam sampai ada yang nak keluarkan. Tapi FAM ada perancangan tersendiri bagi memastikan apa yang telah dilakukan berterusan.”

“Kita nampak peningkatan dibawah Kim Pan-gon agak baik dan tentu sekali apa yang telah dilakukan kita mesti teruskan. Tak bolehlah kalah dua aksi terus kita nak tukar sedangkan aksi berdepan Oman sudah terlalu hampir dengan kita.”

Sebaik sahaja menyandang profil sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, KPG telah membawa banyak pencapaian buat kem kebangsaan. Beliau turut berjaya membantu Malaysia melonjak naik ranking ke-135 dunia ketika ini.

“Saya ingat Persatuan Bolasepak Korea pun tidak ada permintaan rasmi untuk bawa balik Kim Pan-gon. Dahulu Korea beri KPG pada kita untuk meningkatkan pasukan kebangsaan negara dan itu sumbangan persatuan mereka untuk kita apabila mencalonkan Kim Pan-gon.”

“Saya fikir tak mungkin Persatuan Bolasepak Korea memanggil KPG balik dalam keadaan kita memerlukan. Kita (FAM) telah sambung kontrak beliau, tak mungkin Korea boleh ambil dalam keadaan sekarang ini.”

“Perancangan kita bersama Kim Pan-gon ini panjang, mungkin apa yang berlaku di Piala Asia akan menjadi satu cabaran baru untuk kita lebih bersedia menjelang aksi di Kelayakan Piala Dunia 2026,” ujar Dato’ Wira Yusuf Mahadi.

Malaysia bakal berdepan Oman pada 26 Mac kelak di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk perlawanan ketiga kem Harimau Malaya di pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026. Dalam saingan Kumpulan D ketika ini, Malaysia sedang menghuni tangga pertama selepas meraih dua kemenangan dua aksi terakhir sebelum ini.