Tan Cheng Hoe Anggap Vietnam Lebih Tertekan Berbanding Malaysia
MakanBola
Malaysia National Team

Jurulatih interim Malaysia, Tan Cheng Hoe menganggap Vietnam berdepan lebih banyak tekanan selaku juara bertahan menjelang aksi separuh akhir pertama ASEAN Hyundai Cup.

Cheng Hoe berpandangan sedemikian kerana beliau percaya Pahlawan Bintang Emas sudah pasti tidak mahu kehilangan mahkota kejuaraan yang diraih pada edisi 2024.

Justeru, ini memberi kelebihan kepada Harimau Malaya untuk beraksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras tanpa sebarang tekanan.

“Memang mereka kelihatan ingin mempertahankan kejuaraan yang diperoleh pada 2024. Seperti yang kita tahu, kita sudah melangkah ke separuh akhir dan ia merupakan satu pencapaian yang baik buat pemain.

“Suasana kurang tekanan untuk bertemu Vietnam kali ini dan saya rasa Vietnam lebih tertekan kerana mahu mempertahankan kejuaraan,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.

Cheng Hoe turut berharap ‘Ekor’ Harimau Malaya dapat hadir beramai-ramai ke stadium pada 16 Ogos ini untuk memberi sokongan padu kepada skuad negara.

Beliau percaya jika anak buahnya berjaya menyerap tekanan Vietnam, Malaysia mampu meraih keputusan positif sebagai bekalan untuk aksi timbal balik.

“Aksi di laman sendiri nanti, dengan sokongan penuh daripada penyokong, saya yakin kita mampu bersaing.

“Walaupun situasi di atas kertas memihak Vietnam, jika kita mampu menyerap tekanan daripada Vietnam dan membalas dengan serangan yang boleh menjaringkan gol, saya fikir ia akan menjadi momen penting buat pasukan kita,” tambahnya.

Malaysia bakal menentang Vietnam untuk aksi separuh akhir pertama pada 16 Ogos. Ini disusuli aksi timbal balik di Hanoi, Vietnam pada 19 Ogos.