Tan Cheng Hoe Bongkar Detik Kebangkitan Malaysia Atasi Filipina
MakanBola
Malaysia National Team

Jurulatih interim Malaysia, Tan Cheng Hoe membongkarkan detik kebangkitan Harimau Malaya atasi Filipina dalam aksi terakhir Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup pada Sabtu.

Hal ini dinyatakan bekas jurulatih Selangor FC itu apabila mengungkapkan keserasian para pemain selepas 4 aksi bersama sehingga dapat menemui jaringan kemenangan ketika bertemu Filipina.

Gol G. Pavithran pada minit ke-16 sudah memadai bagi memastikan skuad negara mara ke pentas separuh akhir Piala Hyundai ASEAN 2026 dengan kemenangan 1-0 di Cheras.

Menurut Tan Cheng Hoe, suasana dalam kem Harimau Malaya bertambah baik & pemain-pemain semakin memahami taktikal yang diterapkan.

“Ya, suasana dalam pasukan dan hubungan antara pemain sekarang memang sangat baik. Sudah tentu, masih ada ruang untuk diperbaiki.”

“Kami tahu bermain menentang Filipina di tempat sendiri bukan sesuatu yang mudah. Kami sangat memerlukan kemenangan, jadi kami bermula dengan sedikit gementar.”

“Namun, jaringan yang kami hasilkan banyak membantu pasukan mendapatkan keyakinan. Pada separuh masa kedua, kami berjaya mengawal permainan dengan lebih baik.”

“Para pemain juga semakin memahami aspek taktikal yang diterapkan. Pemain gantian turut masuk dengan tenaga yang baik dan membantu pasukan mengawal perlawanan.”

“Perkara paling penting ialah kami berjaya mendapatkan tiga mata yang sangat penting untuk memastikan kami mara ke separuh akhir,” kata beliau ketika sidang media selepas aksi bertemu Filipina.

Malaysia dijadualkan bakal menentang Vietnam dalam aksi separuh akhir Piala Hyundai ASEAN 2026 pada 16 & 19 Ogos ini.