Tan Cheng Hoe: Gol Kedua Vietnam Jejaskan Kami
MakanBola
Malaysia National Team

Jurulatih interim Malaysia, Tan Cheng Hoe menganggap gol kedua Vietnam menjejaskan kem negara selepas tewas 0-2 dalam aksi separuh akhir pertama ASEAN Hyundai Cup menentang Vietnam pada Ahad.

Bekas jurulatih Selangor FC itu mempertaruhkan ramai pemain muda dalam aksi ini selepas kem negara dilanda banyak masalah kecederaan.

Selepas kehilangan khidmat Endrick dos Santos, Jimmy Raymond dan Engku Nur Shakir Engku Yacob akibat kecederaan, dua lagi pemain iaitu Aliff Haiqal Lau dan Fazrul Amir Md Zaman juga berdepan isu sama.

Malaysia juga terpaksa melupakan khidmat Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal untuk aksi itu. Wan Kuzain terpaksa meninggalkan kem Harimau Malaya kerana komitmen bersama kelabnya, Sporting JAX.

Dalam perlawanan ini, Harimau Malaya turut kehilangan pertahanan kental Kuching City, Rodney Celvin akibat kecederaan pada minit ke-11. Susulan itu, beliau menerima rawatan di tepi padang selama beberapa minit.

Bekas penyerang kebangsaan, Nizaruddin Yusof yang menjadi pengulas perlawanan itu melihat Rodney mengalami kecederaan di bahagian hamstring.

Bekas bek tengah Selangor FC itu cuba meneruskan permainan selepas kembali ke padang. Walau bagaimanapun, jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memilih mengeluarkan beliau pada minit ke-16 dan digantikan oleh Aysar Hadi.

Sementara itu, Harimau Malaya turut diperkuatkan oleh beberapa pemain muda dalam kesebelasan utama iaitu Ubaidullah Shamsul, Faris Danish, Alif Ahmad, Daryl Sham dan Pavithran Gunalan.

Selepas itu, Tan Cheng Hoe turut memasukkan beberapa pemain muda lain seperti Haqimi Azim, Ibrahim Manusi dan Ziad El Basheer untuk menumbangkan Pahlawan Bintang Emas.

Menurut Tan Cheng Hoe, Vietnam merupakan pasukan yang mudah menjaringkan gol dalam apa jua sudut dan mengingatkan pemain-pemain Harimau Malaya harus memperkemaskan sentuhan penyudah.

“Sudah tentu kami kecewa. Melihat kepada perlawanan ini, kami tahu bahawa Vietnam merupakan pasukan yang sangat berbahaya dan mampu menjaringkan gol pada bila-bila masa. Pada separuh masa pertama, saya rasa kami mencipta dua peluang yang baik. Kami perlu lebih klinikal dalam menyudahkan peluang-peluang tersebut. Pada saat-saat akhir, kami sedikit hilang fokus dan melakukan kesilapan kecil yang akhirnya menyebabkan kami dibolosi.”

Selain itu, ketua jurulatih Malaysia itu beranggapan jaringan kedua Pahlawan Bintang Emas amat menjejaskan kem tanah air.

“Pada separuh masa kedua, kami mempunyai kawalan permainan yang lebih baik. Malangnya, gol kedua benar-benar menjejaskan kami. Saya tahu pengalaman seperti ini sangat baik untuk pemain-pemain muda. Mereka mendapat pendedahan dan pengalaman yang amat berharga,” kata Tan Cheng Hoe ketika sidang media selepas bertemu Vietnam.

Malaysia terpaksa akur tewas 0-2 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Hyundai ASEAN 2026 di tangan Vietnam hasil jaringan Nguyen Xuan Son dan gol sendiri Faris Danish.

Harimau Malaya harus mencari sekurang-kurangnya 3 gol & tanpa bolos dalam perlawanan timbal balik di Hanoi, Vietnam pada 19 Ogos depan bagi memastikan mara ke pentas final Piala Hyundai ASEAN 2026.