Jurulatih interim Terengganu FC, Tengku Hazman Raja Hassan enggan memikirkan soal masa depannya bersama pasukan itu buat masa ini.
Ini kerana keutamaan beliau pada ketika ini ialah membantu Peteh mencapai sasaran berada dalam kelompok lima pasukan teratas Liga Super.
“Saya fokus kepada dua perlawanan terakhir ini untuk capai sasaran yang telah ditetapkan,” katanya seperti dilaporkan TVS.
Selepas tewas 2-1 kepada Kuching City FC, Tengku Hazman berharap pasukan itu dapat bangkit dalam perlawanan menentang Imigresen FC pada 8 Mei ini.
Ini kerana aksi itu merupakan aksi terakhir Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA). Justeru, kemenangan dilihat tonik terbaik buat pasukan itu lebih-lebih lagi bila beraksi di gelanggang sendiri.
“Perlawanan terakhir nanti kita bermain di laman sendiri. Saya harap pasukan dapat mengekalkan momentum dan kita mampu mengakhiri liga ini dalam kelompok lima terbaik,” ujarnya.
Sejak memikul tugas sebagai jurulatih interim pada Januari lalu, Tengku Hazman telah meraih enam kemenangan, empat seri dan empat kekalahan dalam semua kejohanan.
Sebelum ini, ada desas-desus yang mengaitkan Terengganu dengan bekas jurulatih mereka, Nafuzi Zain sebagai pengganti tetap jurulatih sebelumnya, Badrul Afzan Razali.
Walau bagaimanapun, usaha Peteh mendapatkan jurulatih Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) itu gagal membuahkan hasil.