Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Syihan Hazmi Mohamad memberi penghargaan kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor kerana sentiasa menyokong pasukan itu.
Hal ini dinyatakan beliau selepas membantu JDT bergelar juara Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut pada 15 Mac lalu.
JDT muncul juara liga selepas menewaskan Brunei DPMM FC 3-0 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah. Ager Aketxe, Oscar Arribas dan Marcos Guilherme masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.
Syihan turut memberikan penghargaan kepada Tunku Ismail kerana membantu pasukan itu kekal fokus dalam memburu trofi musim ini.
“Mental kami adalah orang belakang kami, Tunku Mahkota Johor. Baginda banyak beri sokongan dan motivasi masa kita perlukan semangat. Tunku ada, alhamdulillah.
“Semua ini untuk rakyat Johor dan untuk penyokong-penyokong Johor. Dan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor kerana sentiasa bersama kami.
“Setiap perlawanan kami kena usaha dan kami ada sasaran yang lebih besar lagi,” katanya selepas perlawanan.
Ini trofi ketiga JDT untuk musim 2025/26 selepas trofi Piala Sumbangsih dan Piala FA. Musim ini juga menyaksikan JDT layak ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).