Bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha atau Matyo menyifatkan idea sesetengah pasukan Liga Super turun ke Liga A1 Semi-Pro sebagai mengarut.
Pandangan itu dibuat beliau apabila diminta mengulas laporan beberapa pasukan Liga Super mempertimbangkan idea beraksi dalam Liga A1.
Norshahrul menyifatkan idea tersebut mengarut lebih-lebih jika pasukan yang turun itu konsisten bersaing dalam kelompok lima pasukan terbaik Liga Super setiap musim.
Ini ditambah dengan mutu tahap permainan dan daya saing kedua-dua liga yang disifatkan beliau jauh berbeza.
Jika ada perkara yang timbul seperti isu kebajikan pemain dan pegawai yang membawa kepada idea tersebut, maka Norshahrul berpandangan perkara itu seharusnya dibincangkan terlebih dahulu.
“Kalau pasukan itu (di mana tahapnya) berada di Liga Super, konsisten, dapat memberi saingan khususnya pada musim inilah kepada pasukan-pasukan yang berada di kelompok lima atau enam terbaik, kenapa tidak kekalkan dalam Liga Super?
“Untuk (perkara seperti isu) kebajikan, mungkin pihak pengurusan boleh berbincang dengan pihak atasan dan pihak tertentu. (Adakan perbincangan) bersama mereka untuk mengekalkan pasukan ini berada di Liga Super,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Norshahrul juga memaklumkan jika ada pasukan Liga Super yang ingin turun ke Liga A1 atas faktor kewangan, tiada jaminan isu tersebut dianggap selesai.
Ini kerana bukan sekali pasukan Liga A1 dilaporkan dibelenggu masalah kewangan termasuk isu tunggakan gaji pemain.
“Tidak ada alasan kerana mungkin nak bermain di Liga A1 kerana semata-mata nak kurangkan bajet, nak menjamin pembayaran. Kalau benda itu betul berlaku, gaji tepat pada masa setiap bulan, walaupun bermain di Liga Super atau turun ke Liga A1, bagi saya itu satu kebaikan.
“Tetapi jaminan itu terus terang saya kata, pemain-pemain sekarang fobia. Sebab saya pun pernah ada sejarah tersebut. Jadi nak menjamin bermain di Liga A1, gaji tepat pada masa ataupun gaji dibayar sepenuhnya, itu tidak dijamin untuk pemain.
“Untuk pengurusan pasukan, mungkin mereka ada sebab-sebab tertentu. Tetapi untuk pemain, sudah tentu ingin membuat satu perjanjian yang begitu profesional,” ujarnya.
Idea beberapa pasukan Liga Super untuk turun ke Liga A1 timbul susulan isu kewangan yang membelenggu beberapa kelab liga berkenaan.
Susulan idea meja bulat yang dikemukakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon baru-baru ini, Malaysian Football League (MFL) memaklumkan perbincangan tersebut bakal diadakan pada minggu hadapan.