Tijjani Reijnders Hampiri Kelab Arab Saudi, Al-Qadsiah
MakanBola
Manchester City

Pemain tengah berdarah Belanda-Indonesia, Tijjani Reijnders semakin hampir menyertai kelab Arab Saudi, Al-Qadsiah.

BBC Sport melaporkan kelab Reijnders, Manchester City dan kelab Saudi Pro League (SPL) itu telah mencapai persetujuan yuran perpindahan sebanyak £52 juta (RM286.7 juta).

Selepas menyertai City dari AC Milan, pemain tengah Belanda itu membuat permulaan baik di England. Walau bagaimanapun, Reijnders hanya merekodkan tujuh gol dalam 47 penampilan pada musim lalu.

Pemain tengah berusia 28 tahun itu berlatih secara berasingan daripada skuad utama pada 13 Ogos lalu sementara menunggu lampu hijau perpindahan berkenaan.

Sekiranya semua berjalan lancar, Reijnders bakal menjadi pemain kelima menyertai Al-Qadsiah. Kelab Arab Saudi itu merekodkan permulaan baik untuk musim 2026/27 dengan menewaskan Al-Shabab 3-1.

Anak buah Brendan Rodgers mencetak tiga gol menerusi Mohammed Abu Al-Shamat, Julian Quinones dan Turki Al-Ammar. Hammam Al-Hammami mencetak gol saguhati buat Al-Shabab.

City ketika ini dilihat sibuk mengubah bahagian tengah pasukan itu. Selain menjual Reijnders, juara The Emirates FA Cup itu juga sedang berunding dengan Barcelona berhubung penjualan pemain tengah Sepanyol, Rodri.

City juga dilaporkan berminat mendapatkan pemain tengah Chelsea, Enzo Fernandez. Meskipun begitu, The Blues meletakkan harga £120 juta (RM662 juta) buat mana-mana kelab yang berminat mendapatkan Fernandez.