Penyokong Selangor FC dan Terengganu FC berpeluang mendapat tiket percuma bagi aksi antara Selangor menentang Terengganu pada 5 April kelak dengan syarat yang unik.
Aksi Liga Super yang bakal berlangsung di Stadium MBPJ itu bakal berlangsung pada hari raya keenam dan Selangor FC telah melancarkan tiket percuma terhad sempena hari perayaan Aidilfitri.
Menerusi hantaran di laman rasmi Selangor FC pada 28 Mac, penyokong kedua-dua pasukan berpeluang masuk ke stadium secara percuma jika berpakaian tradisional Hari Raya Aidilfitri.
Namun penebusan tiket percuma ini adalah terhad sebanyak 1000 keping bagi kategori ‘open home’ dan 300 keping bagi kategori ‘open away’.
Penebusan tiket bermula pada pukul 5:30 petang sehingga 7:30 petang di kawasan open. Pemakaian baju Raya Aidilfitri adalah wajib untuk proses penebusan tiket percuma yang akan diberikan secara fizikal semasa hari perlawanan.
Aksi menentang Terengganu ini penting buat Selangor dalam mengukuhkan lagi tempat kedua Liga Super bagi menjauhkan jarak dengan Kuching City yang berada di tangga ketiga liga.
Selangor kini mengumpul 46 mata dalam 22 perlawanan liga manakala Terengganu yang berada di kedudukan kelima liga mengumpul 32 mata dalam 21 perlawanan liga.
Aksi sebelum ini antara kedua-dua pasukan ini menyaksikan Selangor meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Terengganu pada bulan September tahun lalu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin hasil jaringan Ronnie Fernandez.