Rakaman terjahan keras membabitkan pemain Chelsea dan Juventus dalam aksi pramusim di Hong Kong baru-baru ini tular di media sosial.
Aksi pemanas badan di Stadium Kai Tak, Hong Kong pada 5 Ogos lalu merupakan sebahagian daripada persiapan pramusim kedua-dua pasukan bagi menghadapi musim 2026/27.
Meskipun aksi ini dilabel aksi persahabatan, Chelsea dan Juventus tidak teragak-agak menampilkan aksi keras demi mendapatkan penguasaan bola.
Hal ini menyebabkan kedua-dua pasukan menggunakan terjahan keras untuk menyekat serangan atau merampas semula bola. Keghairahan ini juga menyebabkan bukan sekali kedua-dua pasukan berbalah disebabkan oleh tindakan kasar pemain masing-masing.
Salah satu daripadanya ialah terjahan keras yang dibuat graduan akademi Manchester City, Liam Delap ke atas seorang pemain Juventus. Statistik perlawanan turut menunjukkan kedua-dua pasukan masing-masing mengutip dua dan tiga kad kuning.
Video pelbagai kekasaran yang dilakukan pemain kedua-dua pasukan dikongsikan sebuah halaman Facebook yang dipanggil Chelsea Lib.
Ramai penyokong di ruang komen merasa terkejut melihat tindakan Delap membuat terjahan tersebut. Seorang penyokong bernama Chibuzor Jessie Amajuoyi merasakan Delap berdepan masalah panas baran.
“Delap macam ada masalah kemarahan,” katanya. Seorang lagi penyokong bernama Edward Mulenga pula melabel semua terjahan keras kedua-dua pasukan seperti filem komedi terkenal dari Hong Kong, Shaolin Soccer.
Aksi keras Chelsea turut dikesan dalam aksi pramusim menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) baru-baru ini. Bek tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Giancarlo Gallifuoco memaklumkan sekiranya isu ini berterusan, ini akan mencetuskan masalah disiplin buat pengurus baru The Blues, Xabi Alonso.