DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor mahu pemain-pemain Harimau Malaya buktikan kemampuan dan buatkan pihak luar percaya dengan perubahan yang sedang berlaku.
Sebelum ini, usaha Tunku Ismail bagi memperkuat pasukan kebangsaan Malaysia telah menerima respon yang berbeza sebelum akhirnya Projek Revolusi Harimau Malaya bermula Disember lalu.
Baginda yang memimpin projek revolusi skuad kebangsaan ini mula untuk membawa masuk kepakaran jurulatih import dan pemain-pemain warisan yang berkelayakan menyarung jersi negara.
Menerusi satu video di dalam bilik persalinan sebelum aksi menentang Vietnam, Baginda sempat menjelaskan kepada pemain tentang usaha yang dibuat bagi membawa Malaysia ke tahap baharu.
”Ini umpama satu revolusi, kami cuba membawa bola sepak Malaysia ke tahap lebih baik,” jelas Tunku Ismail di hadapan para pemain.
”Sekarang, apa sahaja yang kita rancang atau apa yang kita bina, tiada maknanya jika tiada keputusan atau pencapaian.”
Sungguhpun begitu, usaha ini telah menerima kritikan hebat oleh sesetengah pihak yang masih tidak percaya dan Tunku Ismail enggan ambil peduli kerana mereka ini tidak terbiasa dengan perubahan.
”Ada beberapa pihak yang tak percaya, tidak mengapa. Kita sedang lakukan perkara yang baharu dan mereka tidak biasa dengannya.”
Oleh itu, Baginda mahu para pemain Malaysia membuktikan kemampuan di atas padang demi mengubah persepsi pihak luar tentang apa yang difikirkan selama ini adalah tidak benar sama sekali.
”Biarkan prestasi anda berbicara lebih lantang daripada apa yang mereka fikirkan.”
”Ini adalah masanya kita buktikan siapa kita sebenarnya,” harap Baginda.
Maka, Tunku Ismail merasakan bahawa prestasi kesemua pemain Harimau Malaya di atas padang bakal mengubah tanggapan pihak lain kerana mampu membuatkan mereka percaya.
”Jikalau kita mengubah bola sepak dalam tanah air, ini semua disebabkan oleh kamu.”
“Tiada orang lain. Kamulah pahlawan kerana buat mereka rasa seperti ada tempat untuk diri mereka dan percaya.”
”Ini adalah apa yang kita mahukan,” ucap Tunku Ismail.
”Kita nak mereka percaya dan salah satu caranya adalah apabila kita tunjuk perwatakan kita dan semangat untuk melawan,” tegas Baginda lagi.
Permulaan yang positif untuk skuad Harimau Malaya ketika ini apabila mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam saingan Kelayakan Piala Asia termasuklah ketika mengatasi Vietnam pada Selasa.