Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor menegaskan kelab tersebut tidak akan berhenti daripada terus berkembang dan menjadi lebih kuat.
JDT baru sahaja mengakhiri perjalanan indah di pentas AFC Champions League (ACLE) setelah tumbang di tangan kelab gergasi Arab Saudi yang juga juara bertahan, Al-Ahli di suku akhir.
Walaupun tewas, kempen Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini tetap dianggap berjaya apabila melakar sejarah mara ke suku akhir buat pertama kalinya, termasuklah mengatasi dua kelab Jepun dalam perjalanan tersebut.
Maka, DYAM Tunku Ismail selaku Pemilik Kelab menegaskan bahawa JDT tidak akan berundur, malah bakal terus maju memperkukuh pasukan demi memastikan kelab berkembang dan kekal dominan.
“Warna-warna ini tak akan pernah luntur. Perjalanan ini bakal terus berlanjutan, gerakan ini semakin berkembang dan empayar ini semakin kukuh,” tulis DYAM Tunku Ismail di ruangan komen.
Baginda memohon maaf atas pendirian serta tanggungjawab yang digalas, sambil menegaskan bahawa sudah menjadi komitmennya untuk terus menjadikan JDT lebih kuat dalam segenap aspek.
“Saya minta maaf terlebih dahulu kepada pihak lain. Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menjadikan JDT lebih kuat serta lebih besar dalam setiap aspek. Kami tidak akan berhenti,” tambah Baginda.

Tumpuan JDT kini terarah kepada aksi di saingan domestik membabitkan baki perlawanan di Liga Super dan final Piala Malaysia selain berentap di pentas separuh akhir Shopee Cup.
Selain itu, JDT yang kini sudah mengharungi 105 perlawanan tanpa tewas berada dalam prestasi terbaik untuk mengejar dan memecahkan rekod dunia 108 perlawanan tanpa kalah milik kelab dari Ivory Coast.