Tunku Ismail: Pergi Asia Pun Atas Tiket JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor, meluahkan pandangan tegas berhubung prestasi wakil Malaysia di pentas Asia. Baginda menegaskan bahawa JDT merupakan satu-satunya kelab yang konsisten menyumbang mata buat negara dalam saingan peringkat benua.

Menurut Tunku Ismail, sumbangan mata tersebut memainkan peranan penting dalam kedudukan dan reputasi Malaysia di peringkat Asia. Baginda turut menyindir sikap segelintir pihak yang dilihat lebih gemar menutup kelemahan sendiri berbanding melakukan penambahbaikan terhadap prestasi pasukan.

“Kita adalah satu-satunya kelab yang menyumbang mata. Yang ada hanya pandai drama depan penyokong sendiri untuk tutup kegagalan masing-masing. Pergi Asia pun atas tiket JDT,” tulis Baginda dalam satu hantaran di media sosial.

Tunku Ismail turut menyentuh kecenderungan sesetengah pihak yang sering menyalahkan faktor luar apabila berdepan kegagalan. Antara alasan yang disebut termasuk keputusan teknologi bantuan pengadil video (VAR), pengadil perlawanan serta pihak lain yang dikatakan menjadi punca kekalahan.

“Asyik main skrip yang sama setiap tahun. ‘Kita didengki, VAR salah, pengadil salah, semua salah JDT, salah FAM, tetapi diri sendiri tak pernah salah.’ Sedangkan diri sendiri yang gagal. Gagal dan tak boleh terima hakikat,” tegas Baginda lagi.

Komen Tunku Ismail 4 Tunku Ismail: Pergi Asia Pun Atas Tiket JDT

Untuk rekod, JDT terus muncul sebagai penyumbang mata tertinggi buat kelab Malaysia di pentas Asia. Berdasarkan kemas kini Ranking MA Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Malaysia kini mengumpul 40.039 mata secara keseluruhan.

Daripada jumlah tersebut, JDT telah menyumbang sebanyak 28.01 mata, bersamaan kira-kira 70% daripada keseluruhan kutipan mata negara, sekali gus kekal konsisten menjadi penyumbang mata dalam 3 edisi terakhir.

Prestasi cemerlang juara bertahan Liga Super 11 kali berturut-turut ini memberi impak besar terutamanya menjamin slot pasukan dari Malaysia untuk mendapat slot automatik ke ACLE dan ACL2.

Sumbangan mata utama dari pasukan milik DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di pentas Asia sejak beberapa tahun ini memastikan Malaysia terus mendapat satu slot automatik – masing-masing di ACLEdan ACL2 tahun 2026-27.