Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor, menganggap tindakan sesetengah pihak menjatuhkan reputasi pasukan umpama usaha yang terdesak.
Kenyataan Baginda itu disuarakan merujuk kepada dakwaan liar bahawa JDT dibiayai sepenuhnya oleh dana awam atau kerajaan, termasuk dakwaan bahawa 91% daripada hasil pendapatan kelab pada tahun 2024 berasal daripada sumber berkaitan kerajaan.
“Terlalu terdesak. Sungguh memalukan. Mereka tak mampu bersaing, jadi mereka cuba sedaya upaya mencari jalan lain untuk menjatuhkan Kelab JDT kami. Cuba lagi,” tulis Tunku Ismail di laman X.
Terdahulu, JDT melalui Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Teknikal, Alistair Edwards, menafikan dakwaan tersebut. Menurut Edwards, kenyataan itu tidak tepat, tidak berasas, dan salah tafsir fakta sebenar.
Edwards menjelaskan bahawa walaupun akaun kewangan teraudit JDT menyenaraikan Majlis Sukan Negeri Johor serta geran atau sumbangan kerajaan, ia hanyalah prosedur operasi standard.
Dana yang diterima melalui saluran ini digunakan untuk tujuan pelepasan cukai penaja swasta atau program pembangunan sukan akar umbi, termasuk penganjuran kejohanan remaja dan program pembangunan di semua daerah di Johor.
“Tiada satu pun daripada geran ini digunakan untuk operasi bola sepak kelab, termasuk perbelanjaan pasukan utama, gaji kakitangan, operasi Akademi JDT mahupun penyelenggaraan aset kelab,” tegas Edwards.