Selepas Bhutan dan Hong Kong, giliran Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula bakal menguji persiapan Malayan Tigress.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan skuad wanita negara bakal berdepan pasukan Timur Tengah itu pada 18 dan 22 Jun.
Dua aksi pemanas badan ini diatur sebagai persiapan akhir menjelang pusingan kelayakan Piala Asia Wanita 2026.
UAE dilihat menjadi pilihan anak buah Joel Cornelli kerana menawarkan ujian sama seperti lawan Malayan Tigress dalam Kumpulan H, Palestin.
Selain Palestin, skuad wanita negara juga akan berdepan cabaran tuan rumah, Tajikistan dan kuasa besar bola sepak wanita Asia, Korea Utara.
Kedua-dua aksi persahabatan bakal diadakan di Dubai. Setelah itu, Malayan Tigress akan bertolak ke Tajikistan bagi menghadapi pusingan kelayakan.
Malaysia akan menentang Palestin pada 29 Jun ini. Ini disusuli aksi menentang Tajikistan pada 3 Julai dan Korea Utara (5 Julai).