Ubaidullah Shamsul Jadi Sebutan Media Vietnam
MakanBola
Malaysia National Team

Nama bek tengah Harimau Malaya, Ubaidullah Shamsul Fazili menjadi sebutan media Vietnam baru-baru ini.

Portal sukan Vietnam, TheThao247 melabel bek tengah Terengganu FC itu sebagai penggerak hantaran bola skuad negara dari bahagian pertahanan.

Ini terbukti apabila Ubaidullah merekodkan 259 hantaran tepat atau 91.5% daripada 283 hantaran yang direkodkan dalam empat perlawanan Kumpulan B. Data bek tengah berusia 22 tahun itu diambil daripada ASEAN United FC.

TheThao247 melihat Ubaidullah sebagai orang yang bukan saja mampu memecahkan tekanan pihak lawan. Malah, hantaran-hantaran yang direncana beliau dapat sampai ke bahagian bagi menggerakkan serangan Harimau Malaya.

Meskipun begitu, portal itu melihat pemain pertahanan Peteh itu memiliki kelemahan jika ditekan pihak lawan. Hal ini berlaku dalam perlawanan ketiga kumpulan menentang Thailand.

Tekanan yang dikenakan jentera serangan Thailand menyebabkan Ubaidullah menjatuhkan Kakana Khamyok dalam kotak penalti. Insiden tersebut dikesan VAR sebelum penalti dianugerahkan kepada Thailand dan disempurnakan oleh Yotsakorn Burapha.

Ubaidullah kemudiannya bangkit dengan membantu Harimau Malaya merekodkan rekod tanpa bolos buat kali kedua dalam Kumpulan B dengan menewaskan Filipina 1-0.

TheThao247 turut melihat jika Vietnam mahu meraih keputusan positif, mereka bukan saja perlu melepasi Ubaidullah. Malah, Vietnam juga perlu melepasi bek tengah Kuching City FC, Rodney Celvin Akwensivie.

Gandingan mereka mendapat kepercayaan jurulatih interim negara, Tan Cheng Hoe sejak dari aksi pertama kumpulan menentang Myanmar. Selain membantu Malaysia meraih tiga kemenangan, skuad negara juga hanya dibolosi tiga kali dan tidak dibolosi sebanyak dua kali.

Justeru, gandingan Rodney dan Ubaidullah bakal menjanjikan ujian getir buat jentera serangan Pahlawan Bintang Emas diketuai penyerang berbisa mereka, Nguyen Xuan Son.