Pasukan kebangsaan Vietnam kini mencatatkan jurang ranking terbaru dengan Malaysia.
Skuad kendalian Kim Sang-sik cemerlang muncul selaku juara Kumpulan A, Piala Hyundai ASEAN 2026 dengan 10 mata, disusuli Singapura di tangga kedua dengan 8 mata.
Kedudukan ini membolehkan skuad Bintang Pahlawan Emas bakal menentang Harimau Malaya pada aksi separuh akhir kejohanan.
Hal ini selepas skuad kebangsaan bimbingan Tan Cheng Hoe menamatkan saingan Kumpulan B selaku naib juara kumpulan dengan 9 mata sementara Thailand muncul selaku juara kumpulan.
Kedudukan semasa menyaksikan Malaysia menghuni tangga ke-136 dunia berdasarkan kemas kini ranking masa-nyata FIFA dengan 1086.22 mata.
Vietnam yang juga merupakan pasukan kedua terbaik di Asia Tenggara pula berada pada tangga ke-99 dunia dengqn 1227.20 mata selain memegang rekod tidak tewas sepanjang lima perlawanan terakhir dalam semua kejohanan.
Pasukan terbaik di Asia Tenggara kekal menjadi milik Thailand (ke-94 dunia) dan bakal bertemu Singapura pada satu lagi aksi separuh akhir.
Rekod pertemuan tidak memihak buat Malaysia selepas tewas kesemua lima pertembungan terakhir, termasuklah kekalahan 3-1 pada aksi terakhir Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 di Nam Dinh pada 31 Mac 2026.
Aksi separuh akhir pertama dijadual berlangsung pada Ahad, 16 Ogos 2026 jam 9.00 malam waktu Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.