Wakil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah tiba di Stadium Darul Makmur untuk menguji padang baharu stadium berkenaan.
Sebelum ini, kerajaan negeri Pahang memaklumkan stadium tersebut bakal menggunakan rumput Bermuda Tifgrand bagi menggantikan rumput Cowgrass.
Rumput tersebut menjadi pilihan kerana ia bersifat tahan lasak dan mampu menyerap lebih banyak air.
Susulan itu, kerajaan negeri melaksanakan kerja-kerja penukaran rumput di Stadium Darul Makmur dengan kos mencecah RM1.6 juta.
Kerajaan negeri Pahang memperuntukkan RM1.1 juta untuk kerja berkenaan. Baki RM500,000 lagi hadir menerusi geran penukaran rumput yang diperuntukkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Kini, rombongan wakil FIFA diketuai Anthony Apparailly menguji keadaan padang Stadium Darul Makmur baru-baru ini.
Pengujian tersebut dibuat firma Acousto Scan bagi memastikan padang tersebut memenuhi kriteria kualiti dan keselamatan FIFA.
Sekiranya proses pengujian berjalan lancar, Stadium Darul Makmur bakal mendapat sijil FIFA Quality Pro. Sijil tersebut membolehkan padang stadium itu digunakan untuk perlawanan bola sepak termasuk perlawanan bola sepak antarabangsa.