Legenda Barcelona, Xavi Hernandez sah mengemudi skuad kebangsaan Belanda. Pelantikan beliau diumumkan Persatuan Bola Sepak Diraja Belanda (KNVB) pada Khamis.
“Xavi Hernández ialah jurulatih baharu skuad kebangsaan Belanda. Jurulatih Sepanyol berusia 46 tahun itu menggantikan Ronald Koeman.
“Xavi telah mencapai persetujuan dengan KNVB tentang kontrak sehingga Piala Dunia 2030,” kata KNVB dalam satu kenyataan.
Selepas pelantikan beliau disahkan, bekas jurulatih Barcelona itu menyifatkan tugasan tersebut sebagai satu penghormatan besar.
“Saya fikir ini satu penghormatan besar untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan Belanda. Sebagai orang yang pernah menerima pendidikan di akademi FC Barcelona dan pengaruh kuat daripada Johan Cruyff dan Rinus Michels, saya fikir memiliki hubungan istimewa dengan bola sepak Belanda,” katanya.
Pelantikan Xavi sekali gus mengakhiri teka-teki siapa yang akan mengisi kerusi panas itu selepas Ronald Koeman meletak jawatan. Koeman mengundur diri selepas Belanda tersingkir di pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia.
Antara jurulatih yang dikaitkan dengan kerusi panas itu ialah Pep Guardiola, Arne Slot, Peter Bosz, Erik ten Hag, Louis van Gaal dan Roberto Martinez.
Xavi dijangka membimbing Belanda buat kali pertama untuk kempen Liga Negara-Negara UEFA (UNL) A. Belanda akan menentang Jerman pada 24 September ini.
Pertemuan ini dijangka menjadi tumpuan kerana ini juga aksi pertama bekas jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp sebagai jurulatih baharu Jerman.