Xisco Munoz ‘Kunci Mulut’ Status Manuel Hidalgo
MakanBola
Johor Southern Tigers

Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz memilih untuk mengunci mulut berhubung status naturalisasi pemain sayap pasukan itu, Manuel Hidalgo.

Sebelum ini, nama Hidalgo dan Bergson da Silva antara pemain yang dilaporkan bakal mewakili Harimau Malaya di peringkat antarabangsa sebagai pemain naturalisasi.

Malah, beberapa laporan media melaporkan duo berkenaan telah menerima pasport Malaysia selepas melengkapkan tempoh naturalisasi mereka.

Apabila ditanya tentang status naturalisasi Hidalgo, Munoz enggan mengesahkan desas-desus yang timbul.

Pada masa sama, beliau merasa gembira seandainya bekas pemain Sri Pahang FC itu boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan selepas proses naturalisasi selesai.

“Ya. Ia satu lagi perkembangan yang akan kita ketahui,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.

“Adalah menjadi satu perkara positif apabila Hidalgo mempunyai kapasiti untuk mendapatkan pasport Malaysia memandangkan mereka berdua (Bergson) adalah pemain yang bagus dan mempunyai kaitan dengan Malaysia.

“Dan positifnya dia berada di dalam pasukan kami.”

Hidalgo membantu JDT membelasah Kuala Lumpur CIty FC (KL City FC) 7-0. Selain beliau, Ager Aketxe, Stuart Wilkin, Ajdin Mujagic, Eddy Israfilov, Teto Martin dan Oscar Arribas turut mencetak nama sebagai penjaring.