Bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak memuji semangat juang yang ditampilkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA 2024.
Kedah turun menentang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) di Stadium Darul Aman pada 19 Julai lalu untuk aksi separuh akhir pertama kejohanan.
JDT pada awalnya mendahului menerusi Oscar Arribas. Kedah kemudiannya bangkit menyamakan kedudukan menerusi gol pemain tengah Bahrain, Habib Haroon.
Penyerang Harimau Malaya, Romel Morales memastikan JDT memiliki kelebihan tipis satu gol menerusi gol kemenangan pada minit akhir perlawanan.
Meskipun tewas, Zaquan gembira dengan semangat melawan yang dipamerkan anak buah Nafuzi Zain. Ini kerana pasukan itu berusaha memberikan yang terbaik di atas padang walaupun berdepan pelbagai masalah.
“Apa yang lebih saya bangga untuk perlawanan pada malam itu ialah pasukan Kedah. Sebab kita tahu situasi semasa pasukan Kedah. Suasana dalam pasukan Kedah sekarang ini tak berapa enak untuk kita dengar.
“Tapi yang saya bangga dengan Kedah ialah permainan mereka pada malam itu, mereka bermain memang betul-betul demi lencana di dada.
“Kita tahu bukan senang bermain menentang pasukan JDT. Dengan pelbagai masalah yang dihadapi Kedah ketika ini, saya tabik kepada mereka kerana menunjukkan prestasi yang baik,” katanya semasa menjadi panel Nindia di Astro Arena.
Kedah masih berpeluang layak ke final dengan syarat mereka mengatasi kelebihan agregat 2-1 yang dimiliki JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 3 Ogos ini.