3 Pemain JDT Dalam Radar KL City
MakanBola
Johor Southern Tigers

Khabar angin bertiup kencang mengatakan bahawa 3 orang Johor Darul Ta’zim (JDT) kini sedang dipantau rapat oleh KL City.

Jendela perpindahan Liga Malaysia telah pun dibuka sejak 9 Jun lalu hingga 31 Ogos dengan beberapa kelab kini tampak begitu rancak mengatur pelan bagi memperkuat pasukan di musim hadapan.

Salah satu kelab itu adalah KL City yang turut tidak terkecuali apabila dikhabarkan berminat mendapatkan pemain-pemain berstatus kebangsaan daripada kelab juara Liga Super iaitu JDT.

Nama pemain sayap lincah JDT, Safawi Rasid dilaporkan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam menjadi pemain KL City setelah beraksi secara pinjaman untuk Terengganu di musim lalu.

”Safawi Rasid, pemain versatil Harimau Malaya difahamkan jadi sasaran KL City menjelang musim baru Liga Malaysia,” lapor Zulhelmi Zainal Azam di laman X.

Selain itu, dua lagi pemain iaitu Syamer Kutty Abba dan juga Manuel Hidalgo yang dipinjamkan ke Penang dan Sri Pahang musim lalu turut dikaitkan ke KL City menurut wartawan The Star, T. Avineshwaran.

“Difahamkan pemain tengah, Syamer Kutty Abba dan pemain sayap (dari) Argentina, Manuel Hidalgo sedang dipantau oleh Kuala Lumpur bagi tujuan pinjaman di musim akan datang,” kata T. Avineshwaran.

Sungguhpun begitu masih belum ada sebarang pengesahan rasmi lagi ketika ini dari pihak JDT, KL City mahupun ketiga-tiga pemain yang dimaksudkan ini.