Advertisement
Aaron Chia-Wooi Yik Ikut Jejak Lee Zii Jia
UltraSukan
UltraSukan
MSN/OCM

Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya mengikuti jejak langkah Lee Zii Jia dengan mara ke World Tour Finals (WTF) 2024.

Kejayaan ini tiba meskipun pasangan beregu lelaki negara ini tumpas di peringkat suku akhir China Masters kepada wakil tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu dalam tempoh masa 73 minit.

Dalam pertarungan itu, Aaron-Wooi Yik memberikan saingan sengit kepada beregu ketiga dunia itu sebelum terpaksa akur tewas 23-25, 21-17, 12-21 sekaligus terlepas tiket ke separuh akhir.

Kekalahan ini menyaksikan peluang Aaron-Wooi Yik untuk mara ke WTF terletak kepada keputusan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dan Sabar Gutama-Pahlevi Isfahani yang turut sama merebut tempat.

Walau bagaimanapun, kekalahan pesaing dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi di tangan beregu Korea Selatan dalam satu lagi aksi suku akhir mengesahkan kemaraan Aaron-Wooi Yik.

Menerusi kiraan mata oleh Shuttlehard, tiada lagi pasangan beregu lelaki yang mampu menggugat kedudukan Aaron dan Wooi Yik dalam kelompok 8 terbaik bagi layak ke Hangzhou.

Sebelum ini, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menjadi wakil kelima Malaysia yang layak ke kejohanan tersebut selepas terlepas tiket pada edisi 2022 dan 2023.

Selain Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik, 4 lagi wakil turut layak ke WTF iaitu Nur Izzuddin-Goh Sze Fei, Pearly Tan-M. Thinaah, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Untuk rekod, ini merupakan penampilan kelima buat Aaron-Wooi Yik di pentas WTF setelah turut mara ketika edisi 2019, 2020, 2022 dan juga 2023 yang lalu.