Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjunjung kasih di atas sumbangan besar yang dikurniakan oleh DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Menerusi satu kenyataan, FAM yang diwakili oleh Presiden, Datuk Seri Mohd Joehari Ayub melihat kejayaan mengatasi ke atas Vietnam pada Selasa amat bermakna untuk skuad kebangsaan.
“Sudah tentu kemenangan itu cukup istimewa kerana selepas 11 tahun menunggu akhirnya kita dapat mengalahkan Vietnam yang dianggap gergasi bola sepak di rantau Asia Tenggara ini.”
Oleh itu, beliau mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail di atas segala sumbangan Baginda untuk pasukan Harimau Malaya.
“Bagi mewakili Jawatankuasa Eksekutif FAM, saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tunku Mahkota Ismail atas inisiatif dan komitmen baginda dalam merevolusikan pasukan Harimau Malaya.
“Junjung kasih kepada Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa prihatin serta memberikan sokongan dan bantuan kepada FAM dalam usaha meningkatkan lagi prestasi skuad Harimau Malaya.
Kejayaan di Stadium Nasional Bukit Jalil ini juga dilihat bagai satu permulaan baharu yang positif buat skuad negara bagi mengorak langkah dalam perubahan menyeluruh untuk bola sepak negara.
“Apa yang boleh saya katakan, kejayaan ini satu permulaan yang cukup positif buat pasukan Harimau Malaya dan bola sepak Malaysia secara keseluruhannya,” kata Datuk Mohd Joehari dalam kenyataan.
Sebelum ini, FAM turut menzahirkan penghargaan khas buat Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia bagi sokongan dalam bentuk dana kewangan serta proses pendokumentasian pemain warisan.