Perancang tengah Portimonense, Hector Hevel sudah tiba di Malaysia untuk melapor diri di kem Harimau Malaya.
Ketika ini, skuad Harimau Malaya sedang berada di fasa ke-3 kem latihan sejak 19 Mei dan telah selesai mengharungi ujian pertama mengikat negara ke-72 dunia, Cape Verde 1-1 pada Khamis lalu.
Kem fasa ke-3 yang bermula pada Ahad menyaksikan hanya disertai oleh 27 orang pemain setelah nama Fergus Tierney, Hong Wan, Syed Nasrulhaq serta Safwan Mazlan disisihkan dari pasukan.
Manakala, kelibat tonggak tengah Portimonense iaitu Hector Hevel pula dikesan menyertai sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil bersama pemain-pemain yang lain.
Selain Hector Hevel, seorang lagi pemain Malaysian Abroad, Dion Cools yang baru sahaja memenangi trofi ke-4 bersama Buriram United dijangka bakal tiba tidak lama lagi menjelang aksi penting selepas ini.
Status pemain warisan baharu Malaysia antaranya Rodrigo Hogaldo serta Jefte Betancor pula masih menjadi tumpuan ramai ketika ini tatkala Harimau Malaya makin dikejar waktu sebelum bertemu Vietnam.
Harimau Malaya akan bertemu Cape Verde sekali lagi dalam aksi persahabatan tertutup di Bukit Jalil pada 3 Jun sebelum menentang pencabar di Kelayakan Piala Asia, Vietnam pada 10 Jun.