Sesi latihan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Selasa menjadi tumpuan ramai apabila terdapat pemain menyarung jersi nombor 16 yang tidak dikenali.
Pasukan Harimau Selatan ketika ini berada dalam persiapan menjelang kem pra-musim yang akan diadakan di Sepanyol dengan sesi latihan berjalan lancar sejak dua minggu lalu.
5 pemain baharu iaitu Antonio Glauder, Jairo da Silva, Ibrahim Manusi, Jon Irazabal dan Hector Hevel dilihat sudah pun tiba melapor diri ke kem latihan bersama tonggak skuad Harimau Malaya.
Walau bagaimanapun, tumpuan peminat JDT terarah kepada kelibat seorang pemain yang tidak dikenali turut sama turun berlatih bersama menerusi sekeping foto yang dimuat naik di media sosial.
Foto yang dimuat naik oleh laman Johor Southern Tigers itu menyaksikan individu tersebut memakai jersi bernombor 16 dan berada di belakang penyerang JDT, Heberty Fernandes di dalam gambar yang sama.

Peminat setia JDT mula tertanya-tanya siapakah gerangan individu tersebut oleh kerana tiada sebarang pengumuman pemain baharu yang dibuat oleh pihak pengurusan Harimau Selatan setakat ini.
Sungguhpun begitu, foto tersebut telah dipadam tidak lama kemudian membuatkan para peminat bertambah curiga dan tertanya-tanya apakah akan ada kejutan pemain baharu yang akan tiba tidak lama lagi.
Setakat ini, JDT baru sahaja merekrut 5 orang pemain baharu dengan beberapa nama lagi masih dikaitkan dengan pasukan juara Liga Super 11 kali itu seperti Ardaitz Villorejo dan Nacho Mendez.