Saingan Piala Belia 2025 menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) memilih menghantar dua pasukan.
Ini berdasarkan senarai pasukan yang akan menyertai kejohanan itu yang diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
JDT menghantar dua pasukan iaitu juara bertahan, JDT IV dan JDT V. AMD pula menghantar AMD Bawah 16 Tahun (B-16) dan AMD B-17 Future.
Selain JDT dan AMD, Selangor FC, Negeri Sembilan FC, Melaka FA, PDRM FC, Sabah FC III dan Penang FC III turut mengambil bahagian.
Terengganu FC B-18, KL City FC, Kuching City FC dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) B-17 melengkapkan senarai 14 pasukan yang bertanding.
Aksi pembukaan Piala Belia 2025 bakal menyaksikan ulangan aksi final Piala Belia 2024. Ini kerana JDT IV bakal membuka kempen mempertahankan kejuaraan mereka dengan menentang Terengganu B-18.
JDT IV bakal berdepan ubi muda Peteh di Stadium Kulai pada 27 April. JDT V pula akan menentang Melaka FA di Stadium Hang Tuah pada 26 April.
AMD B-16 bakal dicabar KL City di Gambang pada 26 April. AMD Future pula bertandang ke Kuching untuk menentang Kuching City pada 27 April.