Jordi Amat Kirim Mesej Terakhir Buat JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bek tengah Indonesia, Jordi Amat mengirimkan mesej terakhir buat pasukan lamanya, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Amat menjadi sebahagian daripada 11 pemain yang mengucapkan selamat tinggal kepada juara Liga Super 11 kali itu.

Selain beliau, JDT turut melepaskan Anselmo Moraes, Alvaro Rodriguez, Jese Rodriguez, Murilo Henrique, Jonathan Viera dan Roque Mesa.

JDT turut mengumumkan bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim, Ramadhan Saifullah, Izham Tarmizi Roslan dan Farizal Marlias tidak dikekalkan untuk musim 2025/26.

Tidak lama selepas pengumuman itu dibuat, Amat menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terutama pemilik pasukan, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

“Pertama sekali, saya mahu berterima kasih kepada penyokong yang sentiasa bersama kita sepanjang detik sukar dan meraikan detik yang membanggakan.

“Juga kepada semua staf teknikal, fisio, chef dan semua rakan sepasukan kerana tanpa mereka, semua ini boleh direalisasikan.

“Juga kepada Bos (Tunku Ismail) yang percayakan saya dan membantu saya untuk menonjolkan prestasi terbaik saya (bersama JDT),” katanya di Instagram.

Meskipun Amat sebelum ini dilaporkan akan kembali ke Eropah, satu laporan baru mengatakan bekas orang besi Swansea City itu akan berhijrah ke Indonesia.

Ini kerana Persija Jakarta dilaporkan berusaha memuktamadkan perjanjian untuk mendapatkan beliau dan jeneral tengah Tim Garuda, Thom Haye.