Dasar kawalan kewangan yang dipraktikkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) wajar dijadikan contoh ikutan pasukan-pasukan di Liga Malaysia.
Nama JDT sememangnya dikenali sebagai sebuah pasukan yang berjaya di atas padang dengan pelbagai kejayaan dan kejuaraan yang dicatat dalam lipatan sejarah kelab sejak 12 tahun lalu.
Malah, kejayaan pasukan milik DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor ini turut bertitik tolak hasil daripada pengurusan kewangan yang cekap dan perancangan jangka panjang yang berhemah serta teliti.
Salah satu prinsip penting dalam pengurusan kewangan JDT adalah sikap berbelanja mengikut bajet dan bukannya emosi meski juara Liga Super 11 kali ini dilihat miliki kewangan yang cukup kukuh.
Tatkala ada segelintir pasukan lain terjebak dalam perangkap perbelanjaan impulsif seperti merekrut pemain dan jurulatih hingga melebihi bajet, JDT pula kekal mematuhi peruntukan kelab yang ditetapkan.
Contoh mudah, ketika mana JDT berminat bagi mendapatkan khidmat Guilherme Bissoli serta Dion Cools namun hasrat itu terpaksa dilupakan oleh kerana tawaran yang diberikan oleh Buriram United lebih besar.
JDT juga mengambil pendekatan yang lebih berperingkat dari segi pembangunan kelab dengan tidak tergesa-gesa untuk mencapai kejayaan besar dalam tempoh masa yang singkat ini.
Sebaliknya, pihak pengurusan lebih memberi fokus kepada perancangan teliti bagi menaikkan nilai kelab membabitkan peningkatan aset, pembangunan fasiliti yang menjadi faktor penting kestabilan kewangan pasukan.
Hasil daripada pengurusan kewangan yang cermat ini juga telah membantu JDT memuktamadkan kerjasama bersama penaja secara konsisten yang menyumbang kepada sumber pendapatan kelab.
Kerjasama dalam bentuk penajaan yang dijalinkan oleh JDT bersama jenama seperti Nike, Malaysia Airlines dan Hublot membina satu hubungan kukuh antara dua pihak sekaligus memberi manfaat dua hala untuk tempoh yang lama.
Hubungan jangka masa panjang ini secara tidak langsung membantu JDT untuk merancang kewangan untuk musim mendatang ketika mana sesetengah kelab buntu mencari jalan mendapatkan penaja.
Kecekapan pengurusan kewangan oleh JDT ini wajar menjadi satu bentuk panduan khusus untuk kelab lain supaya dapat bertahan dan berkembang maju tanpa menghadapi masalah kewangan yang besar.